Begitu juga ciri Masjid Al-Mawaddah bukan sahaja tempat beribadah, malah tempat di mana Pembelajaran Islam disebarkan untuk setiap lapisan generasi dan umur, agar setiap penduduk Islam dikawasan berdekatan dapat menghadirkan diri ke masjid bersama keluarga mereka, bersesuaian dengan matlamat Masjid Al-Mawaddah berteraskan Mesra Keluarga. Ini sejajar dengan masjid di zaman Rasulullah SAW, yang bukan sahaja tempat untuk beribadah tetapi juga berfungsi sebagai institusi untuk menjalin hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam.
Atas dasar itu Jabatan Dakwah Masjid Al-Mawaddah telah melakarkan serta mengadakan mengadakan pelbagai program dan kuliah untuk peningkatan diri dari sudut kerohanian ,tauhid dan akhlak berlandaskan syariat islam, demi untuk mencapai matlamat ciri-ciri masyarakat islam cemerlang Singapura. Antaranya program dakwah harian ialah seperti Kuliah Maghrib, Kuliah Isyak, Kuliah Subuh, Tazkirah Zohor dan lain-lain yang telah dijalankan dan dipimpin oleh asatizah-asatizah yang bertauliah.
Sebahagian kuliah-kuliah ini menggunakan kurikulum Pendidikan Islam untuk Dewasa atau dikenali sebagai Adult Islamic Education yang disiapkan oleh MUIS dan disampaikan dengan menggunakan teknologi maklumat seperti menggunakan slide slow, projektor dan sebagainya, dan sebahagian lagi masih menggunakan cara ‘lama’ tetapi dengan kaedah yang lebih interaktif dari pembimbing. Ini adalah untuk untuk keselesaan bagi semua peringkat umur.
Begitu juga program bulanan dan tahunan seperti syarahan bulanan dan majlis sambutan bulan kebesaran islam diadakan dan disusun oleh Jabatan Dakwah untuk masyarakat Islam di Sengkang khususnya dan di Singapura amnya. Insya Allah dengan sokongan padu masyarakat Islam Singapura, terutama yang tinggal berdekatan masjid Al-Mawaddah, Jabatan Dakwah Masjid Al-Mawaddah akan sentiasa memperbaiki dan mengusahakan program-program dakwah yang baik serta bermanfaat ke arah melahirkan individu muslim, keluarga dan masyarakat Islam yang cemerlang.